Showing posts with label Tradisional. Show all posts
Showing posts with label Tradisional. Show all posts

Thursday, September 25, 2008

Siri Kuih Masyarakat Banjar - Serabai


Hoho.. masih teruja nak cerita bab kuih masyarakat Banjar ni...

Selain dari kalakatar, kuih² tradisi Banjar yang lain ialah kuih kararaban, kuih kakicak, dadar gulung, balungan hayam, kuih wadai kiping, gegatas, wadai sundok lawang, tapong pelangat, serabai, bubur berayak, kuih sesumapan, hantaran tatak(pisang), halua maskat, wajik, penakok.. hah.. ambik! Nama pun pelik² kan....

Antara yang menjadi kegemaran saya adalah wadai kiping, balungan hayam (keluarga saya sebut galungan), serabai, halua maskat, penakok... Nak kenal dengan halua maskat ni datanglah ke rumah bila raya. Mak memang selalu buat masa tu. Kira macam agenda dia yang wajib selain dari tapai, rendang keling udang/limpa... Sayangnya anak² tidak mewaris langsung resepi mak ni.

Sebenarnya kami adik-beradik tak berapa minat dengan kuih manis² ni. Yang suka makan adalah ayah saya dulu. Boleh dikatakan setiap hari kena ada kuih dan makanan kena bervariasi, tidak boleh ulang yang sama je. Maksudnya, jika 7 hari, 7 jenis kuih dan 7 jenis lauk jugaklah yang kena buat. Gamaknya dah tiap² hari jumpa, maka dengan itulah yang menyebabkan kami mungkin dah boring belum sampai tahap jelak dengan kuih.

Kali ni saya nak share rupa serabai yang saya suka makan tu beserta dengan resepinya sekali... oh... bukan rambut je yang serabai ok! Ada orang kata jugak... kuih ni kuih orang utara.. iye ke? Rasanya bukan kot... orang utara tu mesti belajar dari orang Banjar... pastu claim kuih tu orang utara punya! Huhu..

SERABAI

600g tepung beras
1 1/2biji kelapa parut putih (dicampur dengan 1 liter air kelapa untuk mendapatkan 1 liter santan)
200g tapai nasi (kisar dengan sedikit air kelapa)
2 sudu teh baking powder
sedikit garam


Kacau semua bahan hingga sebati dan perap antara 2-3 jam. Gunakan kuali mungkum yang kecil. Jerangkan kuali atas api yang sederhana. Sapukan kuali dengan minyak makan. Curahkan satu senduk adunan ke dalam kuali. Bila ia naik sedikit, tutup kuali sehingga serabainya masak dan bersarang. Angkat dan letak dalam pinggan.

Buat satu lagi seperti itu. Bila ia masak, angkat dan tangkupkan di atas serabai pertama tadi, Dengan cara begini menjauhkan ia daripada cepat menjadi keras.

Ulang kan sehingga semua adunannya dimasak. Enak dimakan dengan kuah durian (disini kita panggil pengat durian atau nama lazimnya ~ SERAWA). - Resepi ni dapat kat
sini.

Yep... orang Banjar panggil pengat tu adalah serawa. Jarang dah mak buat kuih ni. Dan tak pernah nampak orang jual kecuali di Sungai Besar, yang mana ramai orang Banjar boleh didapati. Padahal kuih ni bukannya susah sangat pun nak buat. Tengok resepi macam kacang je kan.... Hish.. menggelupur pulak nafsu makan time posa macam ni!

Hingga siri seterusnya.... -:)

Monday, September 22, 2008

Kalakatar - Kuih Kebanggaan Masyarakat Banjar Malaysia


Saya akui saya tidak menonton Majalah Tiga hari Sabtu lepas. Maka saya tertinggal untuk melihat orang sedaerah saya membuat kuih kalakatar secara tradisional. Namun, video untuk episod tersebut ada di TV3 online di sini.

Saya sebenarnya ke Jalan Masjid India dengan adik dan Mastura. Berbuka puasa di luar sedangkan suami menjaga Adam dan Syafiah di rumah. Bertuah badan, dapat suami yang sporting. Alhamdulillah. Suami izinkan - terima kasih. Sampai di SU detik telah menghampiri ke pukul 12 malam dengan badan yang berbau masam!

Begitu ramai umat manusia ke sana di hujung minggu yang dikira agak akhir! Mulanya, nak balik ke tidak? Kalau tidak, mungkin menginap sebentar di hotel bajet di KL. Jef, suami adik boleh datang ambil sekitar subuh selepas dia pulang dari kerja di Kepong. Namun bila diingat anak² di rumah, saya ambil keputusan untuk balik saja. Komuter yang kami naiki adalah komuter yang kedua akhir. Saya ke sana semata-mata mencari baju Mastura - anak saya yang cerewet dan pandai memilih pakaian sejak dia berumur 2 tahun. Sekiranya dia suka, lusuh pun dia akan pakai.



Kuih kalakatar di dalam gambar dibuat menggunakan kaedah kukus. Rasa dia ada sedikit kelainan. Sudah tentulah yang dibakar lebih sedap rasa dan aromanya.

Maka dengan ini, dengan bangganya, saya juga mengakui bahawa saya bukanlah orang Melayu asli. Saya adalah orang Banjar yang berasal dari Banjarmasin. Malah dari sebelah ibu, ada campuran Arab dari sebelah moyang yang bernukleus di Tha'if, Arab Saudi. Saya dapat rasakan bahawa kebanyakan orang Melayu Malaysia pada hari ini bukanlah Melayu asli, cuma dengan angkuhnya mengaku sebagai begitu 'Melayu' dari orang lain.

Dan mungkin disebabkan inilah, saya boleh rapat dengan bekas pembantu rumah saya - Acik - sebab kita sebenarnya adalah serumpun!
 

Tangan Yang Menghayun Buaian Copyright © 2008 Green Scrapbook Diary Designed by SimplyWP | Made free by Scrapbooking Software | Bloggerized by Ipiet Notez