Friday, December 26, 2008

Du'a dan zikir di hari Jumaat


Hari Jumaat adalah hari yang paling afdal dalam seminggu. Allah s.w.t. telah mengkhususkannya untuk kaum muslimin yang belum pernah diberikan kepada umat-umat sebelumnya sebagai kurnia dan pemuliaan terhadap umat ini. Pada hari tersebut terdapat ibadah-ibadah yang khusus.

Di bawah ini akan disampaikan dalil-dalil yang menyebutkan keutamaannya dan sunnah-sunnah serta kewajipan yang diperintahkan dalam rangka memuliakan hari Jumaat.

Bersumber dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. mengatakan:
"Sebaik-baik hari yang terbit padanya matahari adalah hari Jumaat. Pada hari itu diciptakan Adam a.s., dimasukkan dan dikeluarkan dari syurga pada hari itu dan kiamat akan terjadi pada hari Jumaat pula."
(HR. Muslim, Abu Dawud, An-Nasa’i, Tirmidzi dan disahihkannya. Lihat Fiqhus Sunnah oleh Sayyid Sabiq bab Jumaat)


Ibadah khusus yang mulia pada hari Jumaat adalah solat Jumaat. Barangsiapa meninggalkannya tanpa ada alasan syar’i akan mendapatkan dosa besar dan akan diazab dengan azab yang pedih (Masyhur Hasan Salman dalam Al-Qaulul Mubin fi Akhtha’il Mushallin).

Rasulullah s.a.w. mengatakan tentang suatu kaum yang meninggalkannya:
"Sungguh aku berkeinginan untuk memerintahkan seorang laki-laki solat bersama dengan manusia kemudian aku akan membakar rumah-rumah mereka yang tidak melakukan solat Jumaat."
(HR. Muslim, Ad-Darimi dan Al-Baihaqi)


Dalam suatu riwayat yang bersumber dari Muhammad bin Abdirrahman bin Zahrah, aku mendengar pakcikku berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Barangsiapa mendengar panggilan azan pada hari Jumaat dan tidak mendatanginya, kemudian mendengarnya dan tidak mendatanginya, kemudian mendengarnya dan tidak mendatanginya, maka Allah akan menutup hatinya dan menjadikan hatinya seperti hati orang munafik."
(HR. Al-Baihaqi, AbuYa’la, disahihkan oleh Ibnu Hajar dan Ibnu Mundzir. Hadith ini dihasankan oleh Masyhur Hasan Salman dalam Al-Qaulul Mubin fi Akhtha’il Mushallin)


Berikut ini ada beberapa hal yang disunnahkan berkenaan dengan keutamaan hari Jumaat:

1) Disunnahkan berdoa kerana berdoa pada hari itu akan dikabulkan terutama pada waktu/saat mustajab (mudah terkabul doa). Para ulama berbeza pendapat tentang waktu-waktu terkabulnya doa pada hari Jumaat tersebut.

Ada yang berpendapat pada saat imam duduk di antara dua khutbah, antara duduknya imam sampai selesainya solat, dan ada pula yang berpendapat akhir waktu dari hari Jumaat iaitu akhir waktu dari solat Asar. Pendapat yang terakhir inilah yang dikuatkan oleh Ibnul Qayyim dalam Zadul Ma`ad bab Jumaat dan Al-Hafidh Ibnu Hajar dalam Fathul Bari. Ibnul Qayyim mengatakan inilah pendapat jumhur ulama dan para sahabat.

Hal ini terdapat dalam hadith bersumber dari Jabir bin Abdillah:
Dari Jabir bin Abdillah dari Rasulullah s.a.w. bahawasanya beliau berkata:"Pada hari Jumaat ada dua belas waktu. Tidak ditemukan seorang muslim yang sedang memohon sesuatu kepada Allah ‘Azzawa Jalla kecuali pasti Dia memberinya. Maka carilah waktu itu, iaitu akhir waktu setelah `Asar."
(HR. Abu Dawud, disahihkan oleh Al-Albani dalam Sahih Sunan Abu Dawud, hadith 926 hal. 196)


Doa yang paling disukai oleh Rasulullah s.a.w. adalah meminta kebaikan di dunia dan akhirat dan meminta perlindungan dari neraka. Dalam suatu hadith bahawa orang yang meminta dimasukkan ke dalam syurga maka syurga mengatakan:
"Ya Allah, masukkan dia ke dalam syurga."

Dan barang siapa yang meminta perlindungan neraka kepada Allah s.w.t. maka neraka akan berkata: "Ya Allah, lindungilah dia dari neraka."
(HR. Tirmidzi dan disahihkan oleh Al-Albani dalam Shahihul Jami’ no. 6151/6, lihat Shifatun Naar fil Kitab was Sunnah oleh Mahmud bin Khalifah Al-Jasim).


2) Disunnahkan memperbanyak bacaan salawat Nabi s.a.w.

Hadith dari Aus bin Aus r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. pernah berkata:
"Seutama-utama hari adalah hari Jumaat. Padanya diciptakan dan dimatikan Adam a.s., ditiup sangkakala dan dibinasakannya manusia. Oleh kerana itu perbanyaklah selawat atasku pada hari itu kerana selawatmu akan sampai kepadaku." Para shahabat bertanya: "Bagaimana boleh sampai sedangkan jasadmu telah dimakan tanah?" Berkata: "Allah s.w.t. mengharamkan tanah untuk memakan (membusukkan) jasad para Nabi."
(HR. Abu Dawud, Sahih, lihat Sahih Sunan Abu Dawud hal. 196 hadith no.925 oleh Syaikh Nashiruddin Al-Albani)


3) Disunnahkan membaca surah Al-Kahfi pada siang hari atau malam harinya sebagaimana pendapat Imam Syafi’i (Lihat Al-Adzkar oleh ImamNawawi).

Seorang muslim yang menghafal sepuluh atau tiga ayat pertama dari surah Al-Kahfi akan terjaga dari fitnah Dajjal, atau siapa yang membaca sepuluh ayat terakhir dan sepuluh ayat dari surah Al-Kahfi akan terjaga dari fitnah Dajjal. Dalilnya adalah hadith dari Abu Darda r.a. dari Nabi s.a.w. berkata:
"Barangsiapa yang menghafal sepuluh ayat pertama dari surah Al- Kahfi terjaga dari fitnah Dajjal."
(HR. Muslim, Abu Dawud, Nasai, Tirmidzi)


Pada lafaz Tirmidzi:"Barangsiapa menghafal tiga ayat dari surah Al-Kahfi akan terjaga dari fitnah Dajjal." Dia berkata: "Hadith hasan."


Pada hadith yang diriwayatkan dari Imam Ahmad dari Abu Darda r.a. bahawa Nabi s.a.w. berkata:
"Barangsiapa yang membaca sepuluh ayat terakhir dari surah Al-Kahfi akan terjaga dari fitnah Dajjal."


Hadith tersebut juga diriwayatkan oleh Muslim dan Nasai dari Qatadah r.a. Dan pada lafaz Nasai menyatakan:
"Barangsiapa membaca sepuluh ayat (mana saja) dari surah Al-Kahfi akan terjaga dari fitnah Dajjal."


Pada hadith yang marfu’ dari Ali bin Abi Thalib r.a.:
"Barangsiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat maka ia akan dijaga dari setiap fitnah sampai delapan hari walaupun Dajjal keluar ia akan tetap terjaga dari fitnahnya."
(Lihat Tafsir Ibnu Katsir Surah Al-Kahfi)


Disunnahkan pula membaca surah Alif Laam miim tanziil as-sajadah dan Hal ata `alal insan pada solat fajar (subuh). Abu Hurairah mengatakan:
"Rasulullah s.a.w. membaca surah Alif Laam miim tanziil as-sajadah dan Hal ata `alal insan pada solat subuh hari Jumaat."(Muttafaqun `alaihi)


Menurut Ath-Thabrani dari Ibnu Mas’ud bahawa Nabi s.a.w. terus menerus membaca kedua surah tersebut. Menurut riwayat dari Ibnu Abbas dan Abi Hurairah r.a. berkata bahawa:
Rasulullah s.a.w. membaca surah Al-Jumaat dan Munafiqun pada hari Jumaat (HR. Muslim). Demikian pula Nabi s.a.w. membaca surah Sabbihisma dan Al-Ghasyiyah pada solat Jumaat (lihat Tafsir Ibnu Katsir surah Al-A`la dan Al-Ghasyiyah).


Wallahua’lam.

Maraji’:
1. Al-Adzkar, Al-Imam An-Nawawi tahqiq Abdul Qadir Al-Arnauth
2. Fiqhus Sunnah, Sayyid Sabiq
3. Fathul Bari, Ibnu Hajar Al-Asqalani
4. Tamamul Minnah, Muhammad Nashiruddin Al-Albani
5. Ikhtishar Syarh Shahih Muslim, Al-Imam An-Nawawi
6. Tafsir Ibnu Katsir, Ibnu Katsir
7. Taisirul `Alam Syarhu `Umdatul Ahkam, Abdullah bin Abdirrahman bin Shalih Al Bisaam
8. Subulus Salam, Imam Ash-Shan`ani
9. Bulughul Maram min Adillatil Ahkam, Ibnu Hajar Al-Asqalani
10. Zadul Ma’ad, Ibnul Qayyim Al-Jauziyah
11. Al-Qaulul Mubin fi Akhtha’il Mushallin, Masyhur Hasan Salman.
12. Shifatun Nar fil Kitab was Sunnah, Mahmud bin Khalifah Al- Jasim.
13. Shahih Sunan Abi Dawud, Muhammad Nashiruddin Al-Albani.



p.s. : Bagi sesiapa yang berhajat terutamanya atas kesejahteraan anakanda masing², moleklah kiranya memperbanyakkan ibadah pada hari ini. InsyaAllah ada waktu²nya doa akan terkabul.. ameen.

4 comments:

silversarina on December 26, 2008 at 3:53 PM said...

salam,

Jumaat penghulu hari ..terimakasih atas ingatan buat kita semua .

Sue.Aleen on December 26, 2008 at 6:48 PM said...

Kak Rina:
saling² mengingatkan...

Anonymous said...

kadang2 sibuk itu sibuk ini....Jumaat berlalu pun masih tidak sedar

Sue.Aleen on January 1, 2009 at 3:34 PM said...

Kak Jie:
kadang² tak sedar pun hari tu hari apa... kadang² hari Khamis disangka hari lain plak...

 

Tangan Yang Menghayun Buaian Copyright © 2008 Green Scrapbook Diary Designed by SimplyWP | Made free by Scrapbooking Software | Bloggerized by Ipiet Notez