Showing posts with label Tahun Baru. Show all posts
Showing posts with label Tahun Baru. Show all posts

Thursday, December 17, 2009

Bilakah Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah?


Disediakan oleh:
Ust Tuan Mohd Sapuan bin Tuan Ismail
Pensyarah KIAS


Setiap kali menjelangnya awal Muharram, kita semua akan diingatkan dengan peristiwa hijrah Rasul. Ini kerana peristiwa hijrah Rasul merupakan satu perkara yang sangat penting dalam sejarah, bukan sahaja kepada kita kaum muslimin, bahkan juga alam keseluruhannya. Betapa tidak, hijrah telah mengubah corak peradaban dunia. Dan kesannya masih boleh dilihat dan dikecapi sehingga hari ini.

Umat Islam telah menjadikan peristiwa hijrah Rasul sebagai permulaan tahun dalam kalendar Islam. Kerana itu, setiap kali tahun Islam disebut, ia akan dinyatakan dengan hijrah. Sebagai contoh: “tahun 1429H akan meninggalkan kita tidak lama lagi, dan tahun 1430H pula akan menyusul”. Huruf H yang diletakkan di hujung angka tahun itu adalah singkatan kepada hijrah, sebagaimana yang kita semua maklum.

Disebabkan permulaan tahun hijrah adalah pada bulan Muharram, mungkin ramai yang keliru dan menganggap bahawa hijrah Rasul berlaku pada 1hb Muharram. Sebenarnya hijrah Rasul bukanlah berlaku pada bulan Muharram, bahkan ia berlaku pada bulan Rabiul Awwal. Syeikh Sofyurrahman al-Mubarakfuri menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. meninggalkan rumah pada malam 27 Safar tahun ke 14 daripada kenabian. Ia bersamaan 12 atau 13hb September 622M. Kemudian, baginda bersembunyi di dalam gua selama tiga malam, iaitu malam Jumaat, Sabtu dan Ahad. Dan pada malam Isnin, 1 Rabiul Awwal, bersamaan 16 September 622M, baginda berdua beredar meninggalkan gua bersama dengan Abdullah bin Uraiqith, yang memandu jalan. Baginda sampai di Quba' pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal, tahun pertama Hijrah. Ia bersamaan dengan 23 September 622M. Baginda berada di Quba' selama empat hari, iaitu hari Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis. Pada hari kelima, iaitu hari Jumaat, 12 Rabiul Awwal, baginda sampai ke Madinah. (Ringkasan kitab ar-Rahiqul Makhtum, m/s 154-166).

Persoalannya, kenapakah hijrah dimulakan pada bulan Muharram, sedangkan hijrah Rasul berlaku pada bulan Rabiul Awwal? Sebenarnya, permulaan bilangan tahun hijrah, sekalipun dihitung bermula dengan hijrah Rasul, namun ia hanya bermula pada zaman pemerintahan Saidina Umar r.a. iaitu pada tahun ke 17 Hijrah. Ada juga yang menyatakan pada Rabiul Awwal tahun ke 16 hijrah (1). Sebelum dari tarikh tersebut, umat Islam sudahpun mempunyai nama-nama bulan, namun mereka tidak menentukan tahunnya.

Terdapat banyak faktor yang mendorong Saidina Umar menentukan tarikh, antaranya ialah kerana kerana Saidina Umar menerima satu surat tentang pengumpulan harta, dan ia bertulis pada bulan Sya'ban. Beliau bertanya: Sya'ban yang mana satu, Sya'ban yang lepas, atau Sya'ban sekarang, atau Sya'ban akan datang? Ada juga yang menyatakan bahawa orang pertama yang menulis tentang tarikh ialah Ya'la bin Umayyah r.a.. Beliau telah menulis surat dari Yaman, kepada Saidina Umar dengan menulis tarikh, dan Saidina Umar menganggap baik perkara tersebut, akhirnya beliau ingin memulakan penentuan tarikh. Antara faktornya juga ialah Abu Musa al-Asy'ari telah menulis satu surat kepada Saidina Umar, menyatakan bahawa telah sampai kepada beliau banyak surat-surat daripada Saidina Umar tanpa tarikh (dan ini boleh menimbulkan kekeliruan). Lalu Saidina Umar mengumpulkan para sahabat untuk membincangkan tentang penentuan tarikh.

Setelah Saidina Umar r.a. mengumpulkan para sahabat untuk menentukan permulaan tarikh, timbul empat cadangan dalam menentukan permulaan tahun Islam. Empat perkara tersebut ialah daripada tarikh kelahiran baginda, atau dari tarikh baginda dibangkitkan menjadi rasul, dari tarikh hijrah atau dari tarikh kewafatan baginda. Lalu akhirnya mereka sepakat untuk menjadikan hijrah Rasul sebagai asas permulaan tarikh Islam. Mereka tidak menjadikan tarikh kelahiran dan kebangkitan sebagai asas, kerana terdapat khilaf tentang bilakah kedua-dua peristiwa tersebut berlaku. Dan tarikh kewafatan pula, sekalipun jelas waktunya, adalah tidak sesuai dijadikan permulaan tarikh, kerana ia merupakan tarikh yang amat menyedihkan. Jadi tidak sesuai tarikh yang sedar diambil untuk diulang-ulangi sebutannya. Kerana itulah peristiwa hijrah adalah peristiwa yang paling sesuai untuk dijadikan asas permulaan tarikh. Kerana inilah, bila timbulnya pelbagai pendapat tentang bilakah asas yang sesuai untuk dimulakan tarikh, Saidina Umar menyatakan kata-katanya yang masyhur,

الهجرة فرقت بين الحق والباطل، فأرخوا بها

“ Hijrahlah yang membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Maka jadikanlah ia asas permulaan tarikh ”.

Berkata al-Imam as-Suhaili, para sahabat sebenarnya mengambil asas tahun hijrah berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah Ayat 108 yang bermaksud:

“ Sesungguhnya masjid yang diasaskan di atas ketaqwaan (Masjid Quba') sejak dari hari pertama adalah lebih patut kamu bersolat di dalamnya ”. Surah at-Taubah: 108. Terangnya lagi: “ Ini kerana sudah jelas bahawa hari tersebut bukanlah hari pertama yang sebenar (permulaan umur dunia). Bahkan hari pertama yang disandarkan kepada sesuatu yang tidak dinyatakan dalam ayat tersebut, iaitu zaman pertama kemenangan Islam, dan zaman pertama Nabi s.a.w. boleh beribadah dengan aman (tanpa sebarang gangguan) dan zaman permulaan pembinaan masjid ”. Kerana itulah sepakat para sahabat memulakan tahun Islam dengan tarikh hijrah, iaitu hari pertama Nabi s.a.w. dan para sahabat memasuki Madinah.

Dan setelah para sahabat sepakat untuk menjadikan peristiwa hijrah sebagai asas permulaan tahun Islam, mereka membincangkan pula, tentang dari bulan manakah kita akan mulakan perhitungan tahun. Maka timbullah pelbagai pendapat. Ada yang mencadangkan supaya dimulakan dengan rejab, dan ada pula dengan ramadhan. Namun Saidina Usman mencadangkan supaya dimulakan dengan bulan muharram. Antara alasannya ialah ia adalah bulan haram (bulan yang dihormati oleh masyarakat arab, kerana diharamkan berperang padanya), dan ia juga adalah masa kembalinya para jemaah daripada menunaikan ibadah haji. Dan antara sahabat yang juga mencadangkan bulan muharram ialah Saidina Umar dan Saidina Ali. Akhirnya, mereka telah memilih bulan muharram sebagai permulaan tahun hijrah, dan bukannya rabiul awwal. Dan antara sebab yang mungkin paling tepat kerana memilih bulan muharram dan bukannya bulan rabiul awwal ialah, kerana permulaan keazaman untuk berhijrah adalah pada bulan muharram. Ini kerana perjanjian Aqabah berlaku pada bulan zulhijjah. Dan perjanjian tersebutlah yang membawa kepada peristiwa hijrah. Dan bulan pertama yang muncul setelah zulhijjah ialah muharram, kerana itu sesuai dijadikan muharram sebagai bulan pertama, kalendar tahun umat Islam.

Inilah sebahagian fakta yang berkaitan dengan persoalan tarikh hijrah. Semoga fakta ini, sedikit sebanyak menghilangkan kekeliruan tentang persoalan bilakah sebenarnya berlaku peristiwa hijrah Nabi s.a.w. Hijrah sebenarnya mengingatkan kita tentang pengorbanan dan matlamat perjuangan umat Islam. Hijrah juga menginsafkan kita bahawa kita sentiasa bergerak menuju Allah SWT. Kerana itu kita sentiasa perlu menambahkan kebaikan dan amal soleh kita. Orang yang berhijrah adalah orang yang berusaha meninggalkan dosa-dosa dan maksiat. Dan perkara itu tidak akan tercapai melainkan dengan keazaman yang tinggi. Sama-samalah kita berhijrah kerana Allah untuk sampai kepada Allah. Dan ingatlah bahawa orang yang berhijrah sentiasa memerlukan bimbingan Allah dalam hijrahnya menuju Allah. Hijrah bukan kerana Allah adalh sia-sia,dan hijrah tanpa bimbingan Allah, tidak akan sampai ke destinasinya.

• Sumber utama artikel ini ialah kitab Fathul Bari, Syarah Sohih Bukhari. (Kitab Manaqib al-Ansar, bab at-Tarikh, juz 7, m/s 341, 342).

(1) Berdasarkan peristiwa ini, kita berpendapat bahawa fadhilat yang dinyatakan dalam membaca doa awal tahun dan doa akhir tahun adalah palsu. Ini kerana pada zaman baginda, belum ditentukan lagi permulaan tahun. Dan tiada yang boleh menyatakan fadhilat seseuatu kecuali Allah dan rasulNya. Dan sesungguhnya agama Islam itu sudah sempurna. Dan amalan tersebut tiada dijumpai asasnya dalam kitab-kitab hadis.



Maklumat Penulis:

Tuan Mohd Sapuan Tuan Ismail
Sarjana Muda Syariah & Pengajian Islam, Univ. Mu'tah, Jordan.
UPI, KIAS
0136353463


Sumber dari Gema Ilmiah.








p.s. : Lamanya tak mencoret sesuatu di sini... 6 bulan!

Thursday, January 1, 2009

Resolusi Jangka Pendek


Selamat Tahun Baru Hijrah dan juga Masihi. Malah tidak lama lagi Selamat Tahun Baru Cina pula. Antara resolusi jangkamasa pendek tahun baru ini:

Perancangan Hari Keluarga

Sehari dua ni sibuk benar membuat risalah tentang perancangan membuat hari keluarga pada Tahun Baru Cina. Tup² tempat dah ditempah orang sampai ke hari Ahad. Tinggal lagi hari Isnin dan Selasa.

Suami mencadangkan cuti diambil pada hari Rabu. Alah.. lagi pun awal tahun. Sekolah pun tak full swing lagi. Nak buat di tarikh² yang lain lebih tak sesuai kerana ada anak buah yang bakal menduduki peperiksaan UPSR dan PMR pada tahun ini.

Ibu saudara mencadangkan agar ke Fraser's Hill sahaja. Ada banglo katanya. Memang... memang ada banglo. Tapi kalau semalam je dah makan ribu-riban ditambah lagi dengan peak season baik saya ke apartment milik syarikat sahabat yang semalam tak cecah harga RM50 pun. Masa macam tu karang bukan takat bilik deluxe mahal, semua bilik, apartment dan banglo pun mahal.

Cuma yang menjadi beban mungkin pada jaraknya. Jaraknya sama je dengan tempat kelahiran saya namun ia lebih dekat sedikit. Duit yang ribu-riban tu boleh allocate pula untuk kos perjalanan.

Di mana? Cluenya seperti gambar² di bawah:



Adik saya, suaminya, mak dan keluarga saya sendiri pernah ke sini pada bulan April 2008.

Suami telah pun menempah. Saya telah pun menyiapkan risalah berkenaan. Tinggal lagi untuk dicetak dan diedarkan kepada ahli keluarga. Saya tak de la buat grand², tak pakai software photoshop (skill hancusss) pun. Pakai paling basic!

Saya hanya mampu berharap yang ahli keluarga dapat hadir walau pun untuk setakat 2 hari. That's more than enough for me. Bukan mudah nak kumpulkan deme ni oiii.. Dedolu masa nenek masih ada, adalah masa bersama bila mereka pulang ke kampung. Dan gathering kami selepasnya hanya tertumpu bila ada sepupu yang berkahwin, selepas itu masing² pulang dan tiada aktiviti lain. Konon nak bergather-gather di Langkawi tahun lepas. Itu pun tak menjadi!


Berjumpa dengan Madam Principal

Ini pun tergendala sejak tahun lepas. Rancang nak bertemu dengannya pada hari Sabtu lepas tapi tidak menjadi (owh ini bukan surprise itu... ini hanya salah satu daripadanya. Kira macam blogger meets blogger la adanya). InsyaAllah saya akan meluangkan masa untuk bertemu dengannya pada esok hari. Adalah... adalah something untuk dibincangkan.

Dua tu je untuk masa sekarang ni. Yang besar² tak perlulah saya ceritakan. Alangkan 'wish list' saya tu pun yang mampu dicapai hanya satu. Sebenarnya tanpa sedar kita sentiasa memperbaharui resolusi kita di setiap waktu.

Saya tak mahu review balik apa kisah kami sepanjang tahun 2008. Boleh dijejaki kembali di blog ini malah di blog Syafiah. Itulah perkara yang terbesar berlaku pada kami. Kami kutip segala pengalaman yang tidak pernah dijangkakan dalam hidup ini. Pengalaman yang tidak berlaku pada sesetengah orang.

Alhamdulillah, walau pun pengalaman itu perit pada mulanya. Namun kami masih mampu berdiri sehingga ke hari ini. Masih teguh. Namun saya sedar.. kekuatan ini hanya dipinjamkan sementara kepada kami daripada Allah swt. Mohon Allah terus meminjamkannya untuk sepanjang hidup ini.

Saya sasarkan agar Syafiah mampu berjalan pada tahun ini. Moga saya lebih istiqomah untuk membantu motor skillnya agar sentiasa bergerak. Dan target ini boleh jadi antara resolusi saya untuk tahun 2009 ini, insyaAllah.

 

Tangan Yang Menghayun Buaian Copyright © 2008 Green Scrapbook Diary Designed by SimplyWP | Made free by Scrapbooking Software | Bloggerized by Ipiet Notez