Jumaat, 13 April 2007/25 Rabiulawal 1428
Sembahyang Jumaat difardukan di Mekah sebelum Hijrah, tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana Islam ketika itu masih lemah, tidak berupaya menghimpunkan orang ramai untuk mendirikannya.
Dalam surah al-Jumaat: 9, terdapat firman Allah: Wahai orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu mengingati Allah dan meninggalkan urusan jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu, sekiranya kamu mengetahui.
Sembahyang Jumaat menghimpunkan orang Islam setempat, membolehkan mereka saling mengenali antara satu dengan yang lain, mengeratkan silaturahim, bertukar-tukar fikiran, maklumat dan sebagainya, mendengar nasihat, menyamaratakan antara jemaah, juga saluran menyampaikan mesej, wadah ilmu, terutamanya hal-hal yang berkaitan dengan agama dan masalah masyarakat. Allah mengharamkan urusan dunia, seperti jual beli dan setiap kegiatan yang memalingkan diri daripada menunaikan sembahyang Jumaat apabila seseorang itu mendengar azan sembahyang Jumaat. Mereka yang meninggalkan sembahyang Jumaat tiga kali atau lebih tanpa uzur akan dimeterai, dibutakan hatinya, tidak mendapat hidayah, tidak dapat membezakan antara yang baik dan jahat dan telah membelakangkan Islam jauh ke belakang.
Sebuah hadis dari Ibn Asad bin Zararah, dari bapa saudaranya, dari Nabi baginda bersabda: Barang siapa meninggalkan Jumaat tiga kali, Allah telah memeterai hatinya dan menjadikan hatinya hati orang munafik - hadis riwayat Abu Bakar bin Ali al-Marwazi dan Abu Ya'la. Dalam sebuah hadis lain dari Ibn Abbas dari Rasulullah, baginda bersabda: Barang siapa meninggalkan Jumaat tiga kali Jumaat berturut-turut maka sesungguhnya dia telah membelakangkan Islam ke belakangnya - hadis riwayat Abu Ya'la.
Hari Jumaat adalah hari istimewa, yang dimuliakan Allah mempunyai kelebihan berbanding dengan hari-hari lain. Ia adalah penghulu segala hari sayyidu `l-ayyaam, lebih istimewa daripada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Allah menjadikan hari ini sebagai Hari Raya, iaitu hari yang penuh dengan keistimewaan dan keberkatan untuk melakukan amal ibadah.
Hari Raya sehari dalam seminggu. Dalam sebuah hadis dari Abu Hurairah dijelaskan bahawa Rasulullah bersabda pada satu hari Jumaat dari hari-hari Jumaat: Wahai semua kaum Muslimin, sesungguhnya Allah telah menjadikan hari ini hari raya bagi kamu, mandilah dan hendaklah kamu bersiwak - hadis riwayat Tabrani. Allah menjadikan Adam pada hari Jumaat, menurunkannya ke bumi juga mengambil nyawanya. Pada hari itu ada satu saat di mana sekiranya seorang itu berdoa kepada Allah dan waktunya bertepatan dengan saat tersebut, Allah akan memperkenankannya.
Tidak ada satu malaikat muqarrabin pun, sama ada di langit atau di bumi, angin, gunung atau laut, melainkan kesemuanya takut belaka pada hari Jumaat - maksud hadis riwayat Ibn Majah dan Imam Ahmad. Dalam surah al-Ahzab: 56 dijelaskan: Sesungguhnya Allah dan malaikatnya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang yang beriman, ucapkan selawat dan salam yang sempurna kepadanya.
Hadis dari Abdullah bin Amr bin Al-Asy menyatakan bahawa beliau mendengar baginda bersabda: Barang siapa berselawat ke atasku satu selawat nescaya Allah berselawat, iaitu memberi rahmat kepadanya sepuluh kali kerana selawatnya itu - maksud hadis riwayat Muslim. Manusia yang paling utama bersama Nabi pada hari kiamat kelak ialah orang yang banyak mengucap selawat - maksud hadis riwayat Muslim. Manusia yang paling utama bersama Nabi pada hari kiamat kelak ialah orang yang banyak mengucap selawat - maksud hadis riwayat At-Tarmizi.
Daripada Aus bin Aus beliau berkata, Rasulullah bersabda: Sesungguhnya hari yang paling utama bagi kamu ialah hari Jumaat, kerana itu perbanyakkan berselawat ke atasku, maka sesungguhnya selawat kamu itu diperlihatkan kepadaku. Mereka bertanya: Ya Rasulullah bagaimana selawat kami diperlihatkan pada tuan, padahal tuan sudah hancur. Baginda menjawab, sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas bumi jasad para ambiya - riwayat Abu Daud, an-Nasaiy dan Ibn Majah.
Terdapat hadis-hadis yang membicarakan tentang waktu mustajab yang berlaku pada hari Jumaat. Ada hadis yang menjelaskan bahawa waktu berkenaan ialah antara duduknya imam di atas mimbar sehinggalah selesai sembahyang Jumaat.
Dalam hadis lain, dinyatakan bahawa waktu yang dimaksudkan ialah sesudah asar. Hadis yang diterima dari Abu Salamah bin Abdul Rahman pula menyatakan bahawa ada beberapa orang sahabat yang berkumpul sambil membicarakan tentang waktu mustajab yang dimaksudkan. Mereka sepakat menyatakan bahawa saat tersebut ialah pada saat yang akhir. Ahmad bin Hambal pula menyatakan bahawa kebanyakan hadis yang diterima menyatakan bahawa saat itu ialah setelah habis asar, walaupun demikian, berkemungkinan bahawa waktunya ialah setelah gelincir matahari. Dijadikan demikian, iaitu tanpa ketentuan masa secara pasti ialah kerana setiap orang itu digalakkan memperbanyakkan ibadah dalam usaha mencari waktu mustajab pada hari Jumaat yang penuh dengan keistimewaan dan kemuliaan daripada Allah.
Kerana itu jadikan hari Jumaat dengan bersedekah menurut keupayaan, memperbanyak istighfar, sembahyang sunat, tasbih, tahajud dan witir, zikir, mudah-mudahan ia jadi kifarah bagi segala hari yang lain, selawat pada malam harinya dan sebagainya. Jangan dijadikan dia masyghul dengan pekerjaan dunia. Orang yang mati pada hari atau malam Jumaat terpelihara daripada fitnah kubur, seperti yang dijelaskan dalam hadis dari Abdullah bin Umar daripada Nabi, baginda bersabda: Tidak ada seorang Muslim yang meninggal pada hari Jumaat, atau malam Jumaat, kecuali Allah memelihara akan dia daripada fitnah kubur - riwayat at-Tarmizi.
Beban kerja atau tugas yang terus-menerus mengasak menyebabkan waktu untuk berada di masjid-masjid begitu terhad. Mesti makan atau mengalas perut terlebih dahulu sebelum menunaikan kewajipan Jumaat. Walaupun demikian tidak dinafikan adanya mereka yang mempunyai waktu yang begitu panjang, yang datang ke masjid ketika azan Jumaat hampir dilaungkan. Sebahagian daripada mereka menghabiskan masa di meja makan, padahal mereka keluar dari tempat kerja pada pukul 12 tengah hari dan meninggalkan meja makan sebaik-baik sahaja bilal melaungkan azan. Kalau saudara rujuk dalam kitab-kitab fikah, kita dianjurkan supaya mandi, sembahyang Jumaat, bermula dari terbit fajar hingga waktu menunaikan sembahyang. Waktu hampir hendak pergi ke masjid adalah waktu afdal dengan menghilangkan bau yang cemar lagi busuk di badan, bersugi, mencukur bulu ari-ari, mengandam misai, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan sebagainya.
Menghias diri dengan memakai pakaian putih, iaitu baju dan serban. Sebaik-baik pakaian ialah pakaian berwarna putih. Sunat ke masjid lebih awal. Berjalan dengan penuh khusyuk, hadir hati kepada Allah, tawaduk merendah diri dan niat iktikad ketika berada di masjid sehingga tiba waktu sembahyang.
Sunat ke masjid lebih awal. Dijelaskan dalam sebuah hadis dari Abu Hurairah bahawa baginda bersabda: Barang siapa mandi pada hari Jumaat seperti mandi junub, kemudian pergi ke masjid di saat yang pertama, maka dia seolah-olah telah berkorban seekor unta. Barang siapa pergi pada saat kedua, dia seolah-olah berkorban seekor lembu. Barang siapa pergi pada saat ketiga dia seolah-olah berkorban seekor kambing yang bertanduk dan barang siapa pergi pada saat keempat, dia seolah-olah berkorban ibu ayam dan barang siapa pergi pada saat kelima, dia seolah-olah berkorban sebiji telur. Maka apabila keluar imam hadirlah malaikat untuk mendengar khutbah - hadis riwayat al-Jamaah, kecuali Ibn Majah.
Hadis ini menjelaskan bahawa semakin awal seseorang itu menghadirkan diri di masjid pada hari Jumaat, maka semakin besarlah ganjarannya. Hadis ini adalah berdasarkan kepada kelapangan juga sikap seseorang terhadap kehadiran mereka ke masjid untuk menunaikan sembahyang Jumaat. Bagi mereka yang mempunyai urusan yang ketat dan memiliki waktu yang singkat untuk menunaikan sembahyang Jumaat, maka di atas kebijaksanaan merekalah bagaimana hendak menggunakan waktu yang singkat itu, mengambil kesempatan untuk meraih rahmat, juga janji-janji Allah pada mereka yang melakukan banyak ibadah di hari Jumaat. Dalam usaha meraih keredaan Allah dan pahala Jumaat seseorang itu tidak boleh melangkah pundak makmum yang lain dalam usaha untuk mengambil tempat dalam masjid atau untuk mendapatkan saf hadapan.
Dalam sebuah hadis dari Abdullah bin Basyr, beliau menjelaskan seorang lelaki telah datang melangkah tengkuk orang lain pada hari Jumaat ketika Nabi sedang berkhutbah, baginda bersabda kepadanya: Duduk. Sesungguhnya engkau telah menyakiti - hadis riwayat Abu Daud dan an-Nasaiy. Orang yang telah menunaikan sembahyang Jumaat, tidak sayugia baginya meninggalkan majlis. Sunat baginya membaca al-Fatihah. Qulhuwa `Llahu ahad, Qul a'udhu bi-rabbi `l-falaq dan Qul a'udhu bi-rabbin `n-nas sebelum berkata-kata. Mudah-mudahan dengan berbuat demikian seseorang itu akan terpelihara daripada segala kejahatan dan bahaya, diikuti dengan menyebut sifat-sifat Allah, di samping memohon doa. Sunat mendirikan sembahyang sunat Jumaat selepas sempurna melakukan sembahyang. Saidina Abdullah bin Umar meriwayatkan bahawa Nabi sembahyang dua rakaat setelah menunaikan Jumaat. Hadis dari Abu Hurairah pula meriwayatkan bahawa baginda melakukan sembahyang sunat Jumaat empat rakaat, manakala Saidina Ali dan Saidina Abdulah ibn Abbas menyatakan bahawa baginda mendirikan sembahyang sebanyak enam rakaat.Kesemua riwayat mengenai perlakukan baginda itu adalah sahih, yang dilakukan dalam keadaan yang berbeza dan yang paling sempurna lagi afdal itu ialah enam rakaat.
Friday, April 13, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

0 comments:
Post a Comment