Friday, June 27, 2008

Psikologi Kanak-Kanak - Sindrom Anak Kedua


Entry ini adalah sambungan kepada entry Tuan Syed, Middle Child Syndrome & Mak.

Sumber


Saya ada sebutkan mengenai soal jawab di Pa&Ma Julai 2008, muka surat 79. Berikut saya taipkan semula persoalan Sindrom Anak Kedua:

Terlalu DEGIL

Soalan
Saya ada tiga orang anak yang masing-masing berusia lima tahun, tiga tahun dan lima bulan. Masalahnya anak saya yang berusia tiga tahun ini terlalu degil dan suka sangat melawan. Pantang saja kita mengajar dia sesuatu perkara yang betul, contohnya membuang sampah ke dalam tong sampah pasti kita yang disuruhnya kembali.

Memandangkan saya seorang saja yang bekerja jadi pendapatan keluarga tidaklah seberapa untuk menyara kami sekeluarga jadi suami saya merancang untuk bekerja kembali. Setiap kali diberitahu "ayah mahu pergi bekerja" diajukan kepada anak saya yang tiga tahun ini, dia akan meradang dan menjawab dengan panjang lebar seribu satu jawapan mengapa dia tidak mahu ayahnya keluar bekerja walau pun dipujuk dengan manja sekali. Tolonglah saya, bagaimana dan apakah yang harus saya lakukan.

Minah
Julau, Sarikei.


Jawapan
Secara amnya, dalam kebanyakan kes memang sering berlaku anak yang tengah atau anak kedua yang bersifat seperti anak puan. Ia mungkin boleh dirujuk kepada sindrom anak kedua. Tanpa ibu bapa sedari mereka telah "mengabaikan" anak kedua ini ekoran hadirnya orang baru dalam keluarga. Ketika mendapat anal sulung, perhatian ditumpahkan kepadanya. Apatah lagi, anak sulung memang dinanti-nantikan oleh setiap pasangan yang berumah tangga. Persediaan sudah dilakukan seawal kehamilan. Pendek kata mereka diberi sepenuh perhatian.

Anak kedua pula, oleh kerana sudah ada pengalaman mengandung anak pertama, tidaklah serisau mana seperti kandungan pertama. Kelengkapan bayi juga mungkin diturunkan dari kakak/abang kepadanya. Serba serbinya bukan yang asal (mungkin sedikit barang-barang baru). Selepas itu, belum puas bermanja, lahir pula si adik yang baru. Tumpuan ibu pada adik pula. Si kakak/abang sudah besar, jadi boleh berdikari dan punya ramai kawan. Mungkin juga sudah bersekolah. Oleh itu, anak tengah atau anak kedua akan berasa diabaikan dan tidak diberi kasih sayang secukupnya. Oleh sebab itu, mereka memberontak dan dimanifestasikan dalam perlakuan dan mungkin juga percakapan mereka.

Namun, saya tahu, bukan ibu bapa itu sengaja membahagi-bahagikan kasih. Cuma mungkin sebahagian besar daripada ibu bapa tidak tahu yang anak begitu memerhati dan merasai perbezaan perhatian itu. Kanak-kanak memang sensitif dan cepat merajuk. Cara paling mudah adalah memujuknya. Letakkan dirinya sentiasa di zon selesa. Libatkan dia dalam membesarkan adik yang bongsu. Jadikanlah dia "figure" penting. Tunjukkan yang ibu amat sayangkan dan perlukan dia. Jika beli baju baru untuk kakak/abang. Belikan untuknya juga. Jika bergaduh dengan si kakak/abang, jangan selalu memenangkan kakak/abang dengan mengatakan adik mesti dengan kata kakak. Sesekali, kakak/abang perlu mengalah dengan si adik. Tentu dia berasa ibu bapanya adil dan sayangkannya.

Tambahan lagi, apabila ayahnya yang selama ini ada di rumah, mahu bekerja semula, dia mulai bimbang. Ini kerana, selama ini dia cukup selesa di samping ayahnya. Ia akan berasa kehilangan dan bimbang kerana dia sudah boleh berfikir apa akan jadi sekiranya ayahnya bekerja. Tentu menjadi seperti ibunya yang balik lambat, jarang berada di rumah, terpaksa dihantar kepada orang lain atau taska. Ini kerana anak-anak mahukan perhatian. Puan dan suami perlu tawan hatinya semula. Pujuk dengan lembut. Ia mengambil masa. Jadi jangan jemu, puan dan suami perlu konsisten dan kuatkan semangat untuknya dan keluarga.




**************************************



Cerita ni sedikit-sebanyak menyerupai pengalaman saya. Pengalaman saya sendiri dengan Adam:

1. Walau pun dia kadangkala melawan tapi masih dengar kata. Buang sampah masih dalam tong sampah.

2. Dalam entry terdahulu saya ada beritahu tentang Adam suka membawa diri. Dia mencari kasih-sayang lain dengan menjadi rapat dengan Maktoknya.

3. Dalam entry terdahulu juga, saya ceritakan Adam suka buat kakaknya lately, tapi sejak seminggu lepas, selepas dinasihatkan, dia tidak lagi membuat kakaknya.

4. Dia suka buat hal/projek sendiri. Hari ni dia selerakkan susu tepungnya sendiri (spoilt my mood for the whole day, k!). Ada je hal dia, tak kiralah yang kreatif atau kurang baik!

5. Setiap kali saya belikan baju untuk Mastura, saya beli sekali baju untuknya.

6. Adakalnya saya menangkan dia. Bergantung kepada siapa yang buat salah.

7. Ada satu barang mainan baru. Orang belikan untuk adiknya. Tapi since dia nak main, saya berikan dia peluang dengan berkata, "Ni mainan adik. Adam pinjam je".

8. Adam tidak pernah buat adik. Tidak pernah gigit. Malah dia selalu datang dan mencium adiknya jika berpeluang.

Saya harap Adam terus mengekalkan kebaikannya sehingga dewasa dan menjadi anak yang soleh dan taat pada perintah Allah swt... I love you, Adam.

3 comments:

silversarina on June 28, 2008 at 7:28 AM said...

Anak akak sofie anak ke 2 dan memang dia yang terlebih 'nakal' sikit masa kecil tapi sekarang dah besar dah serupa macam anak-anak yang lain .

kiss buat Adam comel tu.

Anonymous said...

Sue: Ammar ni anak kedua, tapi menjadi 'anak sulung'. Aku tak sabar nak dapatkan adik untuk dia coz aku nak tgk dia punya perangai ikut second child atau first child. Tapi aku selalu ingatkan dia yg dia ada abang, even panggil dia ADIK. What do u think he will be?

Sue.Aleen on June 29, 2008 at 3:21 PM said...

>>> kak rina:
selalunya anak nakal le cerdik lebih. tak gitu? tengok la sofie tu... kan bakal jadi doktor!

*adam... achik rina bagi kiss kat adam ni...!*





>>> intan:
aku rasa ammar akan jadi 'abang'. 2nd child syndrome happens if there's other kids in the house! tak caya cuba dapatkan 2 adik untuk dia.. yang tengah tu mesti lain sket.

tapi tengoklah jugak kannn... kalo anak lelaki dengan anak lelaki ni aku rasa pe'el dia sama ja..

 

Tangan Yang Menghayun Buaian Copyright © 2008 Green Scrapbook Diary Designed by SimplyWP | Made free by Scrapbooking Software | Bloggerized by Ipiet Notez